Sunday, November 1, 2015

BAJET 2016


ucapan



       Intipati isi penting dan rumusan ucapan pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober 2015 di Malaysia. Pembentangan Belanjawan 2016 kini dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato Seri Najib Razak pada pukul 4.00 petang Jumaat 23 Oktober yang bertempat di Dewan Parlimen Malaysia. Siaran eksklusif secara langsungnya turut disiarkan menerusi RTM dan TV3 bermula jam 4.00 petang. Berikut adalah sedikit sebanyak isi penting mengenai pembentangan Bajet 2016 Malaysia.



       Antara intipati rumusan bagi pembentangan Bajet 2016 Malaysia ialah Bajet 2016 telah memperuntukkan RM167.2 Billion. Bajet 2016 pada kali ini adalah bertemakan "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" dan ianya adalah berdasarkan 5 keutamaan utama.


       Bagi pengguna-pengguna pra-bayar telco warga Malaysia akan dikembalikan rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar dan ianya akan dikreditkan terus mulai pada 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.


       Dalam pembentangan Bajet 2016 juga telah ditegaskan bahawa GST akan dikecualikan bagi barangan makanan seperti susu bayi dan kanak-kanak yang berasaskan susu organik dan kacang soya, gula merah dan lain-lain. Pembayaran cukai GST bagi semua jenis ubat terkawal di bawah senarai racun kumpulan A, B, C dan D juga turut dikecualikan.


       Kelajuan internet bagi penduduk di kawasan luar bandar akan ditambah kelajuannya sebanyak 5 kali ganda daripada 5 Mbps kepada 20 Mbps.


      Pihak kerajaan akan membina tambahan lagi 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, MRSM dan 5 SBP. Bagi bantuan persekolahan sebanyak RM100 akan diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan sebanyak RM100 ini akan mula dibayar pada Januari 2016 namun bantuan ini hanya dikhususkan kepada isi rumah yang berpendapatan RM3000 kebawah.


       Bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bagi pelajar IPT sebanyak RM250 akan diteruskan. BB1M hanya boleh ditebus di kedai-kedai buku yang telah diiktiraf sahaja dan tidak boleh ditebus dikedai yang tidak berdaftar. BB1m ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pelajar-pelajar IPT untuk membeli buku-buku berkaitan pelajaran.



       Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2016 juga akan diteruskan dengan kadar bayaran yang akan dinaikkan. BR1M 2016 bagi pendapatan bulanan isi rumah RM3000 kebawah, BR1M akan dinaikkan daripada RM950 kepada RM1000. BR1M bagi kategori yang bari diperkenalkan bagi penerima dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan RM1000 kebawah akan menerima BR1M sebanyak RM1050. 

ISU PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA

       Isu pembuangan bayi di Malaysia kini sering kita dengari. Kes pembuangan bayi di Malaysia semakin hari semakin bertambah bilangannya. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia perlu tahu tentang kewujudan baby hatch yang telah disediakan di negara ini bagi menangani jenayah tersebut. 



Baby hatch yang disediakan di Malaysia


       Mengikut statistik yang telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 26 kes pembuangan bayi yang dilaporkan di seluruh negara pada suku pertama tahun 2014. Golongan tertinggi yang terlibat dengan gejala ini mengikut statistik kes pembuangan bayi, 40 kes daripada 93 yang diketahui adalah melibatkan remaja yang berumur 18 hingga 25 tahun.



       Terdapat beberapa faktor utama berkaitan kes pembuangan bayi ini. Antaranya ialah kekurangan didikan agama. Masalah kekurangan didikan agama ini telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan. Mereka juga akan melakukan pergaulan bebas pada permulaannya dan hinggalah mendatangkan kesan negatif kepada diri mereka sendiri.



       Pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya kes pembuangan bayi. Sikap rakan-rakan yang negatif akan mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara yang di luar batasan agama. Sebagai contoh, seperti pergi ke kelab-kelab malam, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas.


       Masyarakat Malaysia perlu sama-sama membanteras dan menangani krisis pembuangan bayi yang semakin hari semakin serius ini. 


Thursday, October 8, 2015

KADAR PENGANGGURAN GRADUAN DI MALAYSIA

       

       Kekurangan peluang pekerjaan pada masa kini sering diperkatakan oleh graduan lepasan ijazah. Mereka sukar untuk mendapat pekerjaan yang berkaitan dengan apa yang mereka pelajari. Sememangnya skop peluang pekerjaan di negara Malaysia pada masa kini agak kecil kerana munculnya persaingan antara graduan kerana jumlah graduan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.






       Kini, seramai 216 048 (56%) graduan universiti menganggur daripada 385 800 penganggur di Malaysia. Graduan universiti yang mempunyai segulung ijazah sukar untuk mendapatkan kerja, bagaimana pula penganggur lain yang tiada kelulusan universiti untuk mendapat kerja? Apakah punca dan sebab graduan universiti ini masih menganggur?


      Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh sebuah syarikat Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd melalui pengurusnya iaitu Sam Haggang mendapati bahawa 3% daripada 5% graduan universiti akan mengambil masa lebih daripada 6 bulan bagi mengisi jawatan kosong yang ada di Malaysia. Manakala 40% yang lain mengambil masa lebih lama untuk mengisi jawatan kosong yang sedia ada.


     Antara punca graduan universiti menganggur berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh Jobstreet ialah :
  • Masalah pengusaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%
  • Masalah sikap dalam diri yang teruk : 37%
  • Mengharapkan gaji yang tidak realistik : 33%
  • Kemahiran yang ada tidak bepadanan dengan kerja : 30%
  • Terlalu memilih kerja dan syarikat : 28%
  • Tiada kemahiran untuk menyelesaikan masalah : 26%
  • Tahap pengetahuan yang lemah : 24%

       Punca lain berkaitan isu pengangguran graduan lepasan universiti ini ialah sikap. Sikap siswazah itu sendiri yang terlalu memilih pekerjaan atau telah mendapat tawaran bekerja tetapi menolak kerana pekerjaan yang ditawarkan itu tidak setaraf dengan kelulusan dan bukan bidang mereka semasa belajar di universiti. Mereka lebih suka tinggal di rumah daripada mencuba mencari pengalaman baru dengan bekerja bukan dalam bidang mereka.

       Kelulusan tidak sesuai dengan pemintaan pekerjaan juga merupakan salah satu punca pengangguran graduan universiti. Majikan bagi sesebuah syarikat atau tempat pekerjaan itu akan lebih berhati-hati dalam menggunakan kriteria ini untuk memilih graduan-graduan yang diperlukan. Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak berkaitan akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam tempoh masa yang lebih lama.

       Pengangguran di kalangan graduan akan terus bertambah jika mereka tidak berusaha dalam mencari alternatif baru untuk membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi disamping dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan lain.

     

Tuesday, October 6, 2015

JEREBU



      Jerebu merupakan satu fenomena tradisi atmosfera di mana debu, habuk, asap dan lain-lain zarah mencemar kejelasan langit. Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah habuk, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut. Sumber partikel jerebu termasuk pertanian (membajak dalam cuaca kering), lalu lintas, industri dan kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan.

      Sejak tahun 1991, jerebu telah menjadi masalah yang meruncing di Asia Tenggara, kebakaran hutan di Indonesia yang dibakar bagi membersihkan tanah menjadi punca. Sebagai tindak balas pada jerebu 1997 di Asia Tenggara itu, negara-negara ASEAN bersetuju dengan Pelan Tindakan Jerebu Serantau (1997). Pada tahun 2002, semua negara ASEAN kecuali Indonesia menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan , tetapi pencemaran masih merupakan masalah pada hari ini. Di bawah perjanjian itu sekretariat ASEAN menjadi tuan rumah penyelarasan dan unit sokongan. 

      Kini, masalah jerebu sekali lagi menyerang negara Asia. Negara Malaysia merupakan salah satu negara yang keseluruhan negerinya terkena jerebu akibat pembakaran di Indonesia. Masalah di Malaysia pada tahun ini boleh dikatakan agak teruk dengan bacaan IPU yang agak tinggi iaitu Langkawi, Kedah (173), diikuti Kuala Selangor, Selangor (138) dan Pelabuhan Kelang, Selangor (128). 

Suasana jerebu dari udara


Jerebu di Kuala Lumpur

      Permintaan ubat dan peralatan respitori juga meningkat sehingga 30% sejak jerebu teruk melanda negara. Masalah jerebu yang teruk ini telah mengakibatkan ramai penduduk Malaysia yang mendapat penyakit seperti batuk, sesak nafas dan lain-lain lagi. Hal ini kerana mereka telah menghirup udara yang kotor. Jerebu merupakan pencemaran udara yang sangat berbahaya. Masyarakat  Malaysia dinasihatkan agar memakai topeng muka ketika keluar daripada rumah dan mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan daripada mendapat penyakit disebabkan oleh jerebu ini.